Kenapa saya menulis (mungkin kenapa anda menulis juga)

Saya terpaksa akui bahawa negara ini kemungkinan besar mempunyai banyak penulis. Pengakuan ini saya lakukan berdasarkan reaksi pembaca blog saya tentang penulisan. Hampir setiap minggu apabila saya memuat naikkan bahan dalam blog ini akan ada seseorang insan bertanyakan tentang dunia penulisan. Ada yang bertanyakan tentang masa depan bidang ini dan ada juga yang sedang berjinak-jinak dengan dunia menulis itu. Malah, kewujudan banyak seminar dan bengkel penulisan terutama di Kuala Lumpur membuktikan masyarakat kita sudah ada minat untuk menulis.

Jadi, kenapa saya masih menulis kerana pastinya ada banyak persaingan dalam dunia penulisan itu. Jika pembaca bertanyakan sama ada saya boleh menjana pendapatan yang banyak daripada menulis sudah pasti jawapannya tidak. Sekadar untuk lepas makan dan mungkin membayar sedikit sebanyak bil bulanan. Namun, saya menulis bukan sahaja sebab mahu memperoleh wang tetapi saya menulis kerana beberapa sebab dan kemungkinan pembaca juga menulis atas sebab yang serupa.

Saya menulis kerana menulis itu memberikan saya semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Apabila saya menulis di ruang dapur rumah saya banyak perkara boleh saya perhatikan. Saya boleh nampak jiran-jiran saya keluar masuk, saya boleh lihat posmen datang ke rumah jiran, saya boleh menghidu bau masakan jiran dan saya boleh mendengar bunyi kicauan burung yang hinggap di pokok depan rumah saya. Menulis merupakan satu kemahiran hidup yang memberikan satu pengalaman sebenar kepada seseorang manusia tentang kepentingan setiap detik kehidupan mereka itu. Menulis memberikan seseorang itu untuk menimati saat-saat kehidupan yang berlaku pada saat itu.

Saya menulis untuk memastikan nama saya diingati oleh pelajar dan pembaca saya. Ada seorang penulis agong tetapi saya sudah lupa namanya yang mengatakan penulis menulis kerana mempunyai keinginan untuk diingati selepas kematiannya, untuk dilihat sebagai sedikit bijak dan sebagainya lalu saya berpendapat menulis sememangnya sebegitu cuma saya ingin menambah sedikit lagi. Kita semua akan menemui ajal masing-masing lalu jika jasad ini tidak boleh kekal selama-lamanya bukankah baik jika memori tentang diri seseorang itu berkekalan. Lihat sahaja penulis-penulis agong yang lain yang terus diingati oleh pembaca setia mereka. Jadi, bukanlah salah untuk saya menulis supaya diingati kerana alasan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi alasan yang merupakan sifat semula jadi setiap insan yang bakal meninggalkan kehidupan ini agar hidup mereka terus diingati oleh orang tersayang.

Saya menulis untuk mengubah dunia. Saya hidup sederhana kerana saya berpendapat kita sebagai manusia telah menggunakan sumber bumi ini dengan agak keterlaluan. Berita kepenggunaan yang kita dengar di televisyen telah menyebarkan kita bahawa kehidupan sebegitu tidak membawa kebahagian kepada manusia. Kebergantungan kita terhadap dunia kepenggunaan melampau itu boleh dicerminkan menerusi tindakan salah seorang jiran saya yang  mempunyai tujuh buah kereta dan dua buah motosikal berkuasa besar sedangkan ahli keluarga mereka hanya ada 4 orang sahaja. Jadi, menulis memberikan peluang kepada saya dan kemungkinan penulis lain untuk melakukan sesuatu yang berbeda iaitu daripada menggunakan sesuatu itu penulis boleh menghasilkan sesuatu pula.  Hampir setiap minggu, saya akan mengetik keyboard untuk menulis dan setelah selesai menulis saya akan berkongsi penulisan itu dengan semua pembaca. Saya menulis bukan sahaja untuk mengubah dunia ini tetapi juga untuk membina sebuah dunia yang baharu pula.

Saya menulis kerana mahu mengetahui makna kehidupan. Salah satu buku yang menarik yang pernh saya baca ialah “Man’s Search For Meaning” karya Victor Frankl. Buku yang penuh dengan makna kehidupan itu terutaman pengalaman beliau ketika menghadapi cabaran hidup yang begitu getir telah membuktikan tanggapan saya bahawa manusia bukan mencari kegembiraan atau keseronokan dalam kehidupan mereka tetapi manusia melakukan sesuatu kerana mahu mencari makna kehidupan sendiri. Penulisan membolehkan saya mencari makna kehidupan itu sendiri dan membantu pembaca lain untuk mencari makna kehidupan mereka menerusi penceritaan, Setiap karya penulis sama ada dalam bentuk novel, artikel, komik dan sebagainya memberi makna penting kepada seseorang lalu menjadi tugas saya sebegi penulis untuk menghasilkan penulisan yang bukan sahaja sesuai untuk dibaca oleh semua tetapi juga menjadi cerita yang menceritakan kehidupan setiap insan di dunia ini. Penulis menulis kerana penulisan mereka membawa makna kepada dunia.

Mungkin sudah sampai masanya pembaca sendiri menulis untuk sesuatu yang penting buat mereka.


No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...