Mahu jadi penulis? Penuhi kriteria ini dahulu.
Dalam usaha saya melaksanakan tugas saya sebagai penulis sering kali saya berdepan dengan pelanggan dan penulis yang menanyakan pelbagai soalan dan yang paling selalu ditanya ialah bagaimana saya boleh menjadi penulis. Namun, soalan lain yang sering ditanya dan hendak saya ketengahkan dalam penulisan kali ini ialah bagaimana hendak menjadi penulis.
Penulisan merupakan satu aspek kehidupan yang akan dihadapi oleh seseorang dalam sebahagian kehidupan mereka baik ketika berada di sekolah, di universiti dan kemungkinan alam kerjaya mereka. Itu sebab saya berpendapat menulis satu kemahiran yang perlu diketahui oleh semua pihak terutama dalam kalangan remaja. Pada masa yang sama saya tidak nafikan kemahiran ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh. Jadi, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang jika dia berminat untuk menjadi penulis atau memahirkan penulisannya ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya.
Jika anda tidak membaca anda tidak akan boleh menulis. Ya betul, jika seseorang itu hendak menulis sudah pasti dia perlu membaca. Apabila membaca, seseorang bakal penulis itu boleh mengetahui topik yang ada di dunia ini, masalah yang ada, konflik yang wujud, buku yang sudah ditulis dan sebagainya. Ringkasnya, amalan membaca akan memberikan satu pedoman kepada bakal penulis perkara yang telah sudah dan akan serta sedang berlaku dalam dunia mereka ini. Membaca memberikan idea kepada penulis untuk menulis. Seseorang itu boleh membaca apa-apa bahan daripada novel sehinggalah ke jurnal akademik. Malah, saya sendiri menggalakkan pelajar saya supaya membaca blog dan komik untuk menghayati dunia penulisan dalam jiwa mereka.
Lakukan penyelidikan. Semua jenis penulisan memerlukan penyelidikan. Penulis perlu mengkaji fakta dan perkara yang hendak ditulis. Penulis boleh menyediakan satu buku nota atau fail dan komputer yang menjurus kepada semua maklumat ini. Sebagai contoh, jika penulis hendak menulis tentang sesuatu tempat mungkin penulis perlu melihat tempat atau bandar itu sendiri bersama-sama dengan membuat kajian kedudukan geografi dan masyarakatnya. Penulis menulis untuk memperoleh kepercayaan pembaca walaupun karya mereka itu hanyalah imaginasi sahaja.
Cari jenis penulisan penulis sendiri. Banyak penulis yang menghadiri bengkel saya mahu menjadi penulis ini dan itu tetapi pada saya setiap penulis berbeza. Setiap penulis mempunyai peraturan, nilai dan cita rasa serta pandangan peribadi mereka yang berbeza tetapi menjadi asas kepada proses penghasilan karya nanti. Penulis seharusnya menulis mengikut masa dan budaya serta keinginan naluri mereka sendiri tanpa dibayangi oleh orang lain. Penulis perlu mencari suara penulisan mereka sendiri yang boleh membayangkan nilai dalam diri mereka itu.
Buat satu rutin dan selalu amalkan rutin itu. Semua kemahiran memerlukan disiplin diri yang tinggi. Banyak pihak melihat dengan perasaan kagum apabila penulis mampu menulis satu karya yang menarik tetapi mereka harus sedar bahawa penulis itu terpaksa berusaha keras untuk menghasilkan karyanya. Penulis itu menulis dan menulis dengan satu rutin yang memerlukan ketekunan menulis lalu menilainya hari demi hari. Saya selalunya menulis di dapur rumah saya. Entah mengapa dapur itu lebih sesuai walaupun saya mempunyai bilik studi yang jauh lebih selesa. Setiap jam 9 pagi saya akan menghasilkan masa antara satu hingga dua jam menaip sebarang hasil penulisan. Baik untuk blog saya atau untuk keperluan pelanggan saya yang memerlukannya segera. Isnin hingga Jumaat saya melakukannya. Jika seseorang itu hendak menulis, dia tidak boleh bergantung harap pada mood untuk menulis sahaja. Dia perlu berusaha dan jadikan amalan menulis itu satu rutin. Sememangnya, amalan rutin ini agak sukar tetapi bakal penulis perlu mencarinya sendiri dan menjadikannya satu rutin harian. Mungkin dapur juga pilihan anda?
Kenali audiens pembaca anda sendiri. Saya memulakan kerjaya sebagai penulis dengan menulis untuk akhbar dan majalah. Kemudian saya beralih menulis novel kanak-kanak. Kemudiannya pula, saya menulis untuk buku pendidikan sekolah. Sekarang pula, saya memberikan perhatian terhadap penerbitan e-buku kerana itulah keperluan pembaca sekarang. Ya, saya berubah mengikut keperluan semasa. Penulis perlu mengetahui pembaca mereka. Tindakan ini penting untuk memudahkan mereka menghasilkan karya dan pada masa yang sama memastikan karya itu menjadi sambutan berdasarkan keperluan pasaran semasa pembaca itu. Adakah pembaca mereka kalangan dewasa? Adakah pembaca mereka jenis romantik? Adakah pembaca mereka jenis akademik? Semua informasi ini akan digunakan oleh penulis untuk merangka kosa kata dalam penulisan atau mencipta watak yang sesuai untuk dibaca oleh pembaca nanti. Cari audiens pembaca penulis itu sendiri.
Menulis dan menulis serta terus menulis. Sama ada penulis setuju atau tidak atau mahu menerimanya atau tidak, menulis ialah satu kemahiran lalu sebagai satu kemahiran menulis perlulah dilakukan sepanjang masa. Buat latihan menulis yang berfokus maksudnya penulis hendaklah anda tujuan menulis supaya latihan menulis itu menjadi satu latihan yang bermakna. Penulis akan berjaya menjadi penulis pada masa depan jika selalu berlatih tetapi berlatih dengan fokus yang betul. Saya sering menjelaskan kepada pelajar saya bahawa untuk menjadi pemain bola sepak anda kena selalu bermain bola sepak lalu jika mahu menjadi penulis seseorang itu seharusnya selalu menulis.
Berbicara dengan orang lain. Penulisan memerlukan bahasa dan bahasa ialah aspek sosial kemanusiaan. Penulis tidak seharusnya menjadi kera sumbang walaupun ketika proses menulis suasana keheningan amat diperlukan. Maksud saya sebagai penulis mereka hendaklah berbicara dengan insan lain tentang penulisan mereka atau tentang apa-apa sahaja yang boleh dibincangkan di kedia kopi atau kafe starbuck itu. Semua interaksi ini akan memberikan penulis satu kelebihan untuk menjadi seorang penulis yang lebih baik. Idea untuk menulis kadangkala bermula daripada pengalaman pihak lain pula. Mungkin juga interaksi dengan orang lain ini boleh meluaskan lagi rangkaian kenalan penulis dalam dunia penerbitan itu.
Hadiri bengkel dan seminar. Saya amat bersetuju jika bakal penulis menghadiri seminar dan bengkel penulisan kerana amalan ini akan melatih mereka untuk menulis bersama-sama individu lain yang turut mempunyai keinginan untuk menjadi seorang penulis. Amalan ini turut meninggikan kualiti penulisan seseorang kerana adanya kritikan dan perkongsian bersama-sama revisi hasil penulisan yang membina itu. Namun, saya menasihati bakal penulis supaya tidak terlalu mempercayai semua nasihat yang diberikan dalam seminar dan bengkel itu kerana saya percaya setiap penulis mempunyai kemahiran dan kelebihan yang berbeza antara satu sama lain. Pada saya bengkel dan seminar menjadi medan untuk melayan kreativiti sebagai satu proses perbincangan yang sihat. Bakal-bakal penulis juga boleh menghadiri bengkel penulisan yang saya lakukan.
Ubah dan ubah dan ubah. Agak sukar untuk menjadi penulis yang berjaya menghasilkan karya, artikel dan sebagainya dengan satu deraf sahaja. Biasanya, karya mereka akan diubah dan diubah setiap kali. Sememangnya penulisan agak memenatkan tetapi aspek ini yang memisahkan antara penulis yang benar-benar mahu berjaya dengan penulis yang hanya mahu menjadi sekadar penulis biasa sahaja. Biarkan karya penulisan anda seketika kemudian lihat dan mengkajinya daripada pandangan yang berbeza pula. Perspektif yang lain supaya penulis dapat melihat kelemahan deraf pertama itu lalu mengubahnya menjadi lebih baik pula.
Ringkasnya, semua insan yang mahu menjadi penulis harus meneruskan usaha mereka. Anda akan menjadi penulis. Mungkin bukan penulis terkenal tetapi anda akan mampu menulis dengan baik lalu semua pengalaman hidup anda akan menjadi sesuatu yang menarik kerana pengalaman sebagai manusialah yang akan membentuk seseorang insan itu menjadi penulis yang berjaya. Teruskan usaha menjadi penulis.
No comments:
Post a Comment