Sebagai penulis saya sudah mengalami dan melihat kesannya di mana-mana. Baik sebagai penulis dan penulis kandungan web, ramai yang cuba untuk menarik perhatian pembaca untuk datang ke halaman penulisan mereka itu. Mereka begitu bersungguh-sungguh meneliti pelbagai kaedah di Internet untuk mencari satu kaedah yang boleh membantu mereka untuk menarik ribuan atau jutaan pembaca dalam sekelip mata.
Saya sudah berada dan pernah mengalami situasi ini. Saya pernah menulis dan memuat naik artikel saya dalam halaman web saya lalu menanti pembaca untuk membaca. Kalau tidak silap saya artikel itu tentang pendidikan. Satu hari saya menunggu tetapi tidak ada satu sentuhan pengguna Internet yang mahu membaca artikel saya itu. Saya sudah membuat pemasaran menerusi media sosial? Saya sudah memberitahu rakan-rakan menerusi kumpulan whatsapp? Namun, tiada pembaca yang membacanya.
Jadi, kenapa tidak ada orang yang membacanya? Jawapannya mudah sahaja. Masalahnya bukan disebabkan saya tidak melakukan pemasaran atau sudah banyak artikel mengenai topik itu ditulis atau saya perlu lebih mendedahkan promosi diri dalam rangkaian sosial. Masalahnya ialah saya sama seperti penulis lain pada masa itu, saya belum cukup bagus untuk menulis. Kemahiran menulis saya belum lagi mencapai tahap yang sewajarnya untuk pembaca datang membaca artikel saya itu.
Saya yakin tidak ada sesiapa di dunia ini terutama penulis yang mahu dirinya dikritik bahawa diri mereka tidak cukup bagus untuk menulis. Saya juga salah seorang daripadanya tetapi mungkin kita kena duduk diam-diam lalu merenung semula konsep penulisan secara objektif. Kita perlu menilai diri sendiri secara adil dan saksama. Adakah kita mahu mengikut jejak orang lain jika penulis zaman ini paling suka mencari peluang untuk mempromosikan diri mereka tanpa mahu mengambil kira aspek untuk meningkatkan kemahiran menulis mereka itu sendiri?.
Sama seperti pelajar saya yang begitu suka atau pantas untuk mencari tajuk-tajuk soalan yang akan keluar dalam peperiksaan - kita mencari kaedah untuk menghasilkan dan memperoleh pembaca dalam sekelip mata. Kita sebagai penulis hanya mahu mengetahui cara mudah untuk menulis yang boleh menarik lebih banyak pembaca ke halaman web sendiri. Kita sebagai penulis berusaha mencari apa-apa jalan pintas yang membolehka jumlah trafik ke halaman web kita meningkat secara mendadak dengan satu artikel atau dua artikel atau mungkin tiga artikel. Sebagai penulis kita seharusnya mempersoalkan kualiti artikel dan kemahiran kita menulis dahulu.
Itu belum lagi cerita mengenai kita sebagai penulis yang begitu mudah melihat ke arah penulis-penulis tersohor negara dan luar negara seperti A.Samad Said atau Hemingway lalu meniru bulat-bulat karya mereka atau mungkin memplagiat hasil mereka dengan harapan lebih banyak pembaca akan melayari halaman web sendiri nanti. Bayangkan anda sebagai penulis terkenal melihat karya-karya anda ditiru oleh penulis lain. Pastinya anda juga tidak berapa gembira.
Adakah pembaca fikir A.Samad Said akan duduk di mejanya menulis karya-karya agungnya dengan cuba meniru hasil karya orang lain atau mencari jalan pintas untuk terkenal? Adakah anda rasa A.Samad Said akan menggunakan kaedah media sosial (masa beliau mengarang teknologi tidak secanggih sekarang) Sudah pasti jawapannya tidak.
Saya yakin penulis-penulis yang agung seperti A.Samad Said dan sebagainya serta penulis lain mengasah bakat mereka menulis dengan terus menulis setiap hari sehinggalah mereka menguasai kemahiran menulis itu. Kejayaan hasil penulisan mereka bukanlah disebabkan oleh mereka berjaya menemukan kaedah atau sistematik berasaskan komputer yang mampu mempopularkan karya mereka tetapi mereka berjaya disebabkan karya mereka sememangnya bagus dan pembaca mahu membaca karya mereka itu. Mereka berjaya disebabkan mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam penulisan lalu hasil penulisan mereka sering dibandingkan oleh pembaca dengan penulis yang lain pula.
Banyak penulis dan pelajar saya selalu bercerita kepada saya tentang betapa seriusnya mereka mencari kaedah komputer dan media sosial untuk mempopularkan penulisan mereka itu. Bukanlah penulis perlu menghabiskan masanya dengan mengasah bakat mereka menulis. Bukankah pemain bola perlu selalu berlatih memahirkan diri mengawal pergerakan bola untuk menjadi pemain ternama?
Sebagai penulis, kita seharusnya memberi fokus kepada perkara atau kaedah untuk menajamkan kemahiran menulis sendiri. Kita sememangnya boleh menarik pembaca untuk datang ke halaman web kita menggunakan kaedah tertentu tetapi jika kandungan penulisan kita tidak begitu memuaskan sudah pasti mereka tidak akan kembali lagi untuk membaca artikel pada masa depan pula. Menulis memahirkan kreativiti yang penting dalam penghasilan sesuatu karya penulisan itu.
Jawapan kepada persoalan utama artikel ini ialah pemasaran bukanlah kaedah yang boleh mempopularkan penulisan seseorang penulis itu. Kita sebagai penulis perlu belajar untuk menulis dengan lebih baik. Ya, kita perlu membuat pemasaran media massa sedikit sebanyak tetapi fokus utama penulis ialah untuk menguasai kemahiran menulis itu sendiri. Fokus kepada aspek penulisan terutama kemahiran menulis.
Pembaca zaman sekarang merupakan pembaca yang bijak. Apabila mereka meminati kandungan penulisan web anda, mereka akan membacanya dan terus membacanya. Mereka akan menunggu artikel anda setiap minggu. Mereka akan menghargainya terutama artikel yang memberikan pelbagai maklumat dan pandangan yang bukan sahaja positif tetapi membuatkan pembaca berfikir sejenak. Mereka membaca artikel anda bukan disebabkan mereka ternampak web penulis di Istagram atau disebabkan anda meniru bulat-bulat karya penulis lain tetapi mereka membaca artikel penulis itu kerana mereka mempercayai penulis itu menulis dengan jujur dan mahir.
No comments:
Post a Comment