Menulis meningkatkan kualiti kehidupan manusia
Salah satu sikap saya yang sering saya lakukan setiap hari ialah menulis. Amalan ini telah memberikan banyak kelebihan kepada saya seperti boleh menulis untuk mencari wang, menulis untuk kegembiraan dan juga menjadikan menulis itu sebahagian aktiviti harian saya. Menulis sudah menjadi satu kemestian dalam hidup ini.
Sememangnya, saya suka menulis. Teringat lagi ketika sekolah, saya sering membantu rakan yang tidak suka menulis Karangan. Ketika bekerja pula saya sering membantu rakan sekerja yang tidak tahu menulis surat dan laporan. Setelah menyertai bidang kewartawanan, menulis sudah menjadi satu kebiasaan pula. Menulis memberikan peluang kepada saya untuk memahami banyak perkara dan mengenali banyak insan lain pula.
Secara am, saya cadangkan orang ramai terutamanya remaja untuk menulis kerana menulis ini boleh memberikan pelbagai faedah yang ketara kepada diri seseorang itu.
Pertama ialah menulis ini membentuk diri seseorang terutama remaja menjadi lebih berdisiplin. Suasana kehidupan moden memang menyeronokkan terutamanya apabila berpeluang melepak begitu sahaja. Namun, amalan-amalan menonton tv berjam-jam atau duduk lepak tanpa melakukan apa-apa tidak memberikan satu kepuasan dalam jiwa seseorang. Salah satu sebab utama manusia tidak melakukan perkara yang bermanfaat dalam hidupnya kerana kita tidak mempunyai disiplin diri yang kuat. Jika seseorang itu menulis setiap hari, dirinya akan memahami kepentingan disiplin. Pemahaman mengenai disiplin ini boleh dikaitkan lalu dipanjangkan dalam aktiviti kehidupan yang lain pula.
Selain itu, menulis boleh menajamkan kemahiran seseorang untuk memujuk atau mempengaruhi orang lain. Penulisan merupakana sebahagian amalan memujuk pembaca dengan menggunakan kata-kata. Penulisan berusaha untuk mempengaruhi pembaca supaya yakin dengan sesuatu cerita itu. Jadi, penulis menulis sesuatu untuk menyakinkan dirinya mengenai sesuatu perkara itu. Lama-kelamaan, mereka yang selalu menulis akan semakin mahir dalam proses memujuk atau mempengaruhi orang lain tentang sesuatu perkara.
Tambahan pula, menulis setiap hari akan memberikan sata kefahaman yang mendalam tentang diri sendiri. Setiap hari menulis akan menjadikan diri manusia itu memahami pemikirannya. Penulisan akan mendedahkan diri seseorang kelebihan dan kelemahan sendiri secara tersirat. Perkara ini penting kerana manusia yang memahami dirinya sendiri lebih mudah untuk mengharungi cabaran kehidupan yang semakin mendesak ini.
Secara jujur menulis membawa lebih banyak kebaikan daripada yang saya taipkan di sini. Menulis bukan sahaja memberikan ruang kepada seseorang untuk merenung dirinya sendiri tetapi turut menjadikan pemikiranya lebih kreatif dalam usaha mencari idea untuk menulis. Pada masa yang sama, menulis turut menjadi senjata rahsia untuk memerangi perasaan kesedihan yang pastinya datang menyusul dalam kehidupan manusia itu.
Jadi, ayuh kita semua mula menulis sekarang. Menulis merupakan satu proses yang panjang.
No comments:
Post a Comment