Mengejar konsep kegembiraan kehidupan 


Saya sedang duduk di kafe kopi. Perkara ini berlaku sebelum PKP lagi tetapi memori membuatkan saya mengingatinya semula kerana ingin menyelongkar persepsi masyarakat mengenai erti kehidupan yang menggembirakan. Bekas pelajar saya datang bersembang dengan saya menghuraikan betapa sedihnya kehidupan yang dialaminya setelah meninggalkan alam persekolahan. Saya menelan kepahitan kopi itu sambil memasang telinga. Kesediaan mendengar masalah dirinya itu membuatkan saya berfikir tentang kehidupan insan-insan lain di kafe kopi terkenal itu. Adakah mereka juga mengalami kehidupan yang menyedihkan ini? Bagaimana pula dengan saya?


Pada saya komponen utama yang perlu ada dalam diri seseorang yang mengejar kegembiraan dalam hidupnya ialah kebolehan untuk mengawal pilihan-pilihan yang berlaku dalam hidup seseorang insan itu. Secara am, kegembiraan kepada seseorang itu berkisar pada:


1. Dia mempunyai sesuatu aktiviti yang mahu dilakukan setiap hari seperti kerja.

2.Dia mempunyai diri seseorang untuk dikasihi seperti isteri, kekasih, anak, dan kawan.

3. Dia mempunyai sesuatu matlamat atau impian untuk meneruskan kehidupan itu seperti mahu melihat perniagaannya terus berjalan lancar.


Jika kita mempunyai kerja itu sudah memberi maksud kegembiraan. Tidak kira sama ada kerja itu memberikan rezeki wang yang banyak atau sedikit. Malah, kerja yang tidak berunsurkan kewangan juga boleh membawa kegembiraan seperti melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan dalam membantu insan yang lain. Sebarang kerja yang memberikan sesuatu kepuasan kepada diri merupakan kerja yang harus diteruskan sampai bila-bila. Kerja memberikan manusia satu tujuan untuk meneruskan kehidupannya.


Jika kita mempunyai seseorang yang dikasihi seperti isteri, kekasih dan keluarga juga mampu memberikan kegembiraan kepada diri insan itu. Apabila balik kerja bertemu dengan isteri, suami dan anak-anak serta kawan baik sudah mencetuskan kegembiraan dalam setiap jiwa manusia tersebut. Masa yang dihabiskan bersama-sama mereka pastinya akan menjadi memori indah sepanjang hidup kelak.


Jika kita mempunyai sesuatu untuk meneruskan kehidupan ini turut memberikan keceriaan dalam kehidupan seseorang itu. Keinginan untuk melihat anak membesar, keinginan melihat diri berjaya dalam mencapai sesuatu dan sebagainya boleh melahirkan konsep kegembiraan hidup yang tidak ternilai. Maka, gunalah perkara itu untuk meneruskan kehidupan dengan kegembiraan.


Banyak antara kita melihat kegembiraan sebagai sesuatu yang ditimbulkan oleh pihak lain lalu mereka menunggu untuk sesuatu berlaku atau munculnya individu tertentu untuk membantu mereka mencapai kegembiraan dalam hidup. Banyak antara kita mengharapkan pihak lain yang akan memberikan kegembiraan itu. 


Sebenarnya, setiap diri manusia itu bertanggungjawab terhadap kegembiraannya sendiri dengan menilai pengalaman hidup masing-masing. Kalau kita mencari kehidupan yang bermakna, kita perlu memperolehnya sendiri. Kalau kita mencari kehidupan yang gembira, kita juga perlu memperolehnya sendiri. Lantaran itu, jika kita beranggapan bahawa orang lain akan memberikan kegembiraan kepada kita pastinya nilai itu tidak akan kesampaian.


Sebagai manusia, kita perlulah memilih tindakan kehidupan kita itu lalu amalan ini akan menjadi satu sikap atau rutin harian. Sememangnya, kegembiraan itu mengambil masa tetapi pastinya satu pelaburan yang amat menguntungkan pada masa depan. Semua perkara yang membawa kegembiraan akan memerlukan satu proses masa yang panjang. Sikap mempelajari sesuatu perkara, menukar sikap buruk, menjalin hubungan dengan orang lain, bekerja di pejabat dan mendidik anak semuanya memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang mendalam lalu sikap-sikap sebegini menjadi sebahagian keperluan hidup manusia.


Jadi, untuk memperoleh kegembiraan dalam diri setiap manusia itu, kita perlulah bijak memilih. Pilih perkara yang perlu kita berikan perhatian atau fokus yang mendalam dalam hidup. Cari insan-insan yang boleh membawa kegembiraan dan kepuasan dalam hidup kita dengan teliti. Jika kita bijak menentukan keutamaan dalam hidup, keutamaan dalam persahabatan, keutamaan dalam segala-galanya, pasti hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dalam suasana dunia yang penuh dengan ketidakadilan, kesedihan, dan ketakutan ini.


Saya tidak bertemu dengan bekas pelajar itu lagi selepas ini.



No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...