Buku Haruki Murakami...

Salah seorang penulis yang sering saya baca novelnya ialah Haruki Murakami. Saya meminati karyanya kerana beliau apabila menulis seolah-olah menulis penuh dengan mistik, keajaiban dan juga fantasi yang membuatkan pembaca seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri. Buku-bukunya boleh membaca pembaca untuk meneroka alam yang jauh berbeza daripada realiti kehidupan ini. Coretannya pasti menyentuh mengenai pasta, kucing dan kesunyian hidup yang dialami oleh watak bersama-sama rahsia kehidupan yang turut dikongsi oleh setiap insan di dunia ini.



Mungkin ada pembaca halaman ini mengetahui Murakami menerusi buku-bukunya terutama Norwegian Wood dan Kafka on the Shore. Namun, buku beliau yang saya ingin ketengahkan di sini bertajuk What I Talk Abaout When I Talk About Running. Buku ini merupakan pengalaman beliau ketika bersedia untuk melibatkan diri dalam satu larian marathn di Amerika Syarikat. Beliau mencoretkan pengalamannya berlatih dan pemikirannya terutamanya motivasi di sebalik larian rutin yang dilakukannya itu. Bukan mudah untuk menamatkan larian sejauh 5km atau 21 km atau 42 km itu. Minda dan fizikal perlu bersepadu untuk mengharungi keletihan, kehausan dan paling penting kemampuan untuk menamatkan larian.


Karya beliau ini memberikan ingatan semula kepada saya yang suatu masa dahulu begitu meminati acara marathon. Ya, saya pernah menamatkan lebih daripada 10 larian marathon 42km dan berpuluh-puluh acara 21km ketika saya masih muda. Saya sering menjelajah Malaysia terutama di Pulau Pinang, Seremban dan Kuala Lumpur untuk menyertai acara marathon itu. Saya gunakan acara marathon ini sebagai satu kaedah untuk mengubat kesedihan yang melanda ekoran kematian ayah saya pada masa itu.


Lantaran itu, apabila saya membaca buku ini saya mula menyedari bahawa semua yang saya lakukan pada masa itu seolah-olah turut dilakukan oleh Murakami. Buku ini mengaitkan hubungan insan dengan acara lariannya tetapi turut mengandungi ungkapan-ungkapan yang berkisar tentang kehidupan, kekuatan mental dan sebagainya. Larian seolah-olah menjadi kaedah untuk seseorang menukar dirinya menjadi insan yang lain, jauh lebih baik daripada dahulu.


Jika anda mahu menamatkan acara marathon sama ada larian 5km, 10km, 21km atau 42km, inilah buku yang perlu anda baca kerana penulisanhya memberikan banyak faedah kepada minda dan fizikal seseorang terutama jika anda suka membaca dan berlari pada masa yang sama.


No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...