Kita tentukan nasib sendiri

Tidak ada sesiapa yang akan membantu kita. Itulah kata-kata yang saya ucapkan kepada seorang bekas pelajar saya yang terserempak dengan saya ketika saya sedang menaiki LRT. Dia mencurahkan rasa sedihnya kerana pandemik virus ini telah menyebabkan dirinya dibuang kerja dan ibu bapanya pula sudah tua lalu mengharapkan belas kasihan bekas pelajar saya itu. Perlahan-lahan saya memberitahunya.


Ibu bapa tidak akan datang membantu. Mereka sudah cukup membantu kita selama ini. Mungkin juga mereka tidak pernah membantu tetapi apa-apa pun situasinya, mereka tidak akan datang untuk membantu. Kita sudah dewasa. Ibu bapa kita juga mempunyai hala tuju mereka sendiri.


Begitu juga dengan rakan baik kita. Dia juga tidak akan datang membantu. Walaupun dia mungkin sahabat setia tetapi dia juga turut menghadapi masalah yang serupa. Kemelut kerja, cinta, kesihatan dan sebagainya. Mungkin kita patut sering berinteraksi tetapi jangan sesekali menyangka kawan anda akan datang membantu kita. Usah sesekali berharap.


Boss kita? Dia juga tidak akan datang membantu kita. Dia juga bergelumang sengsara untuk menyelamatkan dirinya. Mungkin juga dia sedang berusaha untuk menjaga semua pekerjanya. Ringkasnya, boss kita tidak mempunyai masa untuk membantu kita menyelesaikan masalah kerana dia juga tidak pernah lelap tidur sepanjang krisis ini.


Tidak ada sesiapa yang akan datang menyelamat kita yang sedang mengalami kesusahan itu - kerana itulah fakta kehidupan tahun 2020 sehingga kini.


Saya teringat kata-kata seorang penssyarah saya ketika di UKM dahulu. Katanya “ Doktor tidak menjadikan diri kita sihat. Guru tidak menjadikan kita bijak. Tuan Haji tidak akan menjadikan diri kita tenang. Sebenarnya, kita yang perlu memikul tanggungjawab itu. Kita perlu menyelamatkan diri sendiri.” Cuma konteks ucapan pensyarah saya ini dia tujukan kepada kami sebagai pelajar kerana peperiksaan semester hampir tiba. Namun, kata-kata itu masih relevan buat saya terutama dalam situasi kehidupan yang penuh ketidakpastian ini.


Setiap saat yang kita habiskan dengan menanti bantuan orang lain merupakan setiap saat dibazirkan begitu sahaja. Kita sendiri sahaja yang boleh membantu diri sendiri. Kita sahaja yang perlu melakukannya. Kita perlu bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang berlaku dalam hidup sendiri. Peristiwa yang berlaku, masalah yang ditimbulkan oleh pihak lain dan sebagainya itu mestilah kita memikul tanggungjawabnya.


Kata saya kepada bekas pelajar saya itu, kita perlu membuang sikap buruk kita, membuang sikap malas kita, membuang sikap terlalu menilai kita, membuang sikap berbelanja boros itu dan sebagainya. Ringkasnya, kita perlu membuang semua yang kita rasakan keterlaluan itu supaya kita mampu meneruskan kehidupan ini.


Ketiadaan bantuan ini bukan bermakna anda bersendirian atau tidak ada sesiapa di dunia ini yang mahu menolong apatah lagi dunia ini bukannya sekejam itu tetapi kerana semua orang turut mengalami kesan yang serupa lalu semua orang perlu membantu diri mereka sendiri. Masing-masing sedang sibuk berusaha untuk memastikan diri dan keluarga serta orang tersayang mereka selamat dalam suasana pandemik ini.


Ingatlah, tidak ada sesiapa yang akan membantu kita kecuali diri kita sendiri yang mahu berusaha membantu diri. Saya melihat cermin pintu LRT kerana saya sedar saya sudah terlepas destinasi stesen yang ingin saya kunjungi.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...