Kenapa saya berjalan?

Kenapa saya berjalan kaki


Saya juga berjalan. Malah, setiap hari, saya cuba melepasi angka 10 ribu langkah yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak itu. Pagi, saya berjalan untuk menikmati sarapan. Petang saya berjalan menuju ke LRT untuk ke kelas atau bertemu dengan pelanggan. Malam, jika tiada kelas, saya akan berjalan selepas menikmati hidangan makan malam. Ada juga jiran yang bertanyakan sebab saya berjalan itu. Malah, ada orang yang beranggapan saya tidak siuman. Ya, ada juga yang berpendapat saya mempunyai sejenis penyakit psikologi.


Pada saya , berjalan itu memberikan ketenangan jiwa. Berjalan buat saya umpama membeli pakaian berjenama kepada orang lain. Saya berjalan kerana amalan ini memberikan satu kepuasan yang saya sendiri susah hendak menerangkannya dalam penulisan ini. Secara umum, ada enam sebab saya berjalan.


Pertama, sudah pasti kerana berjalan itu percuma. Biasanya, perjalanan saya ke stesen LRT terdekat dengan rumah saya akan mengambil masa 20 minit. Jika menggunakan kereta perjalanan itu hanya mengambil masa 15 minit (jika tidak ada kesesakan lalu lintas lah).  Jika saya memandu kereta pastinya saya mengelilingi kawasan sekitar untuk mencari tempat letak kereta. Kemudianya, saya pastinya terpaksa membayar kos meletak kereta itu. Apabila saya berjalan, saya beras lebih bertenaga, relaks dan bersemangat.


Kedua, berjalan menyebabkan saya boleh mengaitkan diri dengan persekitaran. Banyak orang tidak melihat keunikan bangunan, kedai, warung, dan sebagainya apabila memandu kerana kereta mereka berjalan dengan pantas. Berjalan umpama kura-kura yang sedang bersantai di tepi jalan lalu semua perkara ini mampu dihayati lalu dihargai dengan mudah.


Ketiga, berjalan akan memberikan sudut pandangan yang unik. Saya mula melihat pembinaan perumahan, bangunan, jalan raya dan sebagainya yang lebih ke arah kemudahan kenderaan. Negara kita tidak banyak menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk berjalan selain di kawasan taman. Akibatnya, saya lebih mudah untuk melihat kawasan yang selamat untuk berjalan dan tidak. Kawasan simpang mana yang bahaya dan tidak. 


Keempat, berjalan merapatkan saya dengan penduduk setempat. Pemandu bas, pemandu teksi, dan penjual makanan di warung mengenali saya. Mungkin mereka tidak tahu nama tetapi mereka akan mengangguk kepala atau melambai kepada saya apabila saya berjalan melintasi premis perniagaan mereka. 


Kelima, berjalan mencetuskan rasa ingin tahu. Kadangkala, saya ingin tahu pemilik rumah yang cantik itu. Bilakah rumah itu dibina? Mengapakah binaan sedemikian dihasilkan? Ada juga masanya saya cuba meneka pekerjaan pemilik rumah itu berdasarkan bentuk rumah dan kereta yang dimiliki tanpa melihat pemilik tersebut.


Keenam, berjalan membolehkan saya melihat masa depan. Saya berjalan hampir setiap hari lalu saya akan berpeluang untuk melihat sebarang perubahan yang berlaku. Ada binaan bangunan yang baru bermula lalu saya akan berpeluang untuk melaluinya setiap hari sehinggalah bangunan itu siap.


Mungkinkah saya patut menubuhkan kelab berjalan?

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...