Kerja idaman satu konsep yang bahaya

Kerja idaman satu konsep yang berbahaya terutama kepada golongan muda


Pernah sekali dalam satu seminar yang saya lakukan, ada peserta yang bertanyakan sama ada pekerjaan yang saya lakukan sekarang ini merupakan kerja impian saya atau dalam bahasa Inggeris “Dream Job”.  Jawapan saya tidak. Saya boleh melihat reaksi peserta dalam bilik seminar yang kecil itu. Ada juga gaya yang seolah-olah tidak mempercayai jawapan ikhlas saya itu.


Sejak kecil, saya dan kemungkinan diri pembaca sering didombakan dengan konsep kerja idaman. Kerja ini akan memberikan kewangan, kegembiraan dan sebagainya kepada seseorang itu.  Kekerapan mendengar konsep ini seolah-olah menjadikan istilah ini sesuatu yang magis atau ajaib.


Realitinya, perkara ini tidak benar terutama dalam suasana ekonomi negara yang merudum dilanda wabak pandemik virus ini. Pada saya istilah kerja idaman yang terlalu magis itu tidak berlaku di dunia ini walaupun ada segelintir yang mendakwa mereka mempunyai kerja idaman. Dakwaan itu seolah-olah hampir serupa dengan ungkapan manusia boleh berubah. Maksud saya berapa ramai antara kita yang memperoleh kerja idaman itu? Berapa ramai antara kita yang benar-benar berubah? Mungkin ada tetapi jumlahnya kecil. Selebihnya termasuklah saya yang tidak akan mempunyai kerja idamannya. Kita perlu berpijak di bumi nyata.


Kita selalu mendengar betapa bagusnya kerja di sebuah syarikat itu. Kita selalu mendengar bayaran gaji yang tinggi dan bonus tahunan yang berbulan-bulan. Kita selalu mendengar skim hospital yang menarik ditawarkan kepada pekerja sesebuah syarikat. Kita selalu mendengar boss-boss syarikat lain yang baik-baik. Masalah dengan semua konsep kerja idaman ini ialah kita tidak memiliki kerja idaman itu. Kita hanya mendengar sahaja. Kita hanya melihat dari jauh sahaja. Kita hanya memerhatikan kerja idaman itu.


Rumah idaman kita bukannya rumah kecil yang dimiliki sekarang. Kereta idaman kita bukannya kereta kancil yang dipandu sekarang. Semua ungkapan ini merupakan ungkapan yang belum berlaku. Apa salahnya menjual pisang goreng di tepi jalan? Apa salahnya mengambil gambar sebagai kerjaya? Apa salahnya bekerja dalam pertubuhan bukan kerajaan? Apa salahnya menjadi kerani di Pejabat?


Mungkin kita perlu mengubah persepsi atau jangkaan kita terhadap sesuatu kerja yang kita lakukan sekarang. Kita seharusnya menetapkan matlamat, mewujudkan satu garus panduan dan melakukan semua tindakan dalam hidup ke arah mencapai sesuatu yang lebih realistik dan nyata. Bukannya hidup dalam suasana angan-angan Mat Jenin.


Nasihat saya kepada pembaca ruang ini ialah kita cuba mencari sesuatu yang menarik atau unik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan itu. Pastikan kemahiran diri dalam pekerjaan itu diasah setiap kali supaya menjadi lebih baik pada masa depan. Pastikan juga pekerjaan itu memberikan kegembiraan kepada diri sendiri terutama aspek melihat pekerjaan itu menjadikan kehidupan insan lain lebih berjaya terutamanya golongan muda yang masih memerlukan bimbingan dan dorongan itu. 


Atau pembaca boleh memilih untuk bangun setiap hari mencari kerja idaman yang ternanti-nanti itu. Berharap permohonan kerja yang seterusnya akan memberikan peluang untuk memperoleh kerja idaman pula. Habiskan masa dengan mengisi borang permohonan kerja setiap tahun dalam usaha gigih memperoleh kerja idaman itu sehingga kerja yang menanti di depan mata dibiarkan begitu sahaja atau melakukan kerja yang dimiliki sekarang secara cincai sahaja.


Saya tidak tahu bagaimana reaksi pembaca tetapi saya akan memilih pilihan pertama tadi iaitu yang saya cari dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan baik sebagai penceramah, pendidik dan penulis. Saya cuba melihat kerja-kerja yang dilakukan itu mampu memberikan kepuasan dalam diri ini. Saya akan melakukan yang terbaik dalam kerja yang diamanahkan itu. 


Lagipun, umur saya yang sudah jauh melepasi angka 50 ini seharusnya sudah bijak dalam menentukan hala tuju yang bakal berakhir tidak lama lagi itu.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...