Nasihat buat mereka yang baru menempuh alam dewasa

Antara perkara yang membuatkan saya ceria adalah ketika berbual dengan bekas pelajar saya. Ketika minum kopi inilah mereka akan bertanyakan saya soalan-soalan yang menarik terutama mengenai cara untuk memajukan diri mereka berdasarkan pengalaman saya muda dahulu. Saya juga pernah muda dan saya juga banyak melakukan kesilapan. Lantaran itu, perbualan sebegini bukan sahaja memberikan kecerahan kepada bekas pelajar saya tetapi pada masa yang sama memberikan satu nostalgia kepada diri sendiri tentang kehidupan yang saya lalui. Mungkin saya sudah terlewat untuk membuat perubahan drastik dalam hidup kerana faktor usia tetapi golongan bekas pelajar saya yang mahu muda ini, nasihat ini mungkin berguna sedikit sebanyak.


Jadi, nasihat saya yang pertama kepada mereka ialah sebarang permintaan yang diri sendiri mahu perlulah datang daripada diri sendiri dahulu. Jika kita mahu satu kehidupan yang menarik, kita perlu lakukan sesuatu yang menarik juga. Mahu memiliki rakan yang berjiwa tabah, pastinya diri sendiri perlulah tabah. Mahu memiliki isteri atau suami yang menarik, kita sendiri perlu menjadikan diri sendiri menarik. Ringkasnya, perkara yang kita minta berlaku dalam hidup sendiri ini perlulah dicetuskan daripada diri sendiri dahulu.


Banyak orang melihat konsep ini terbalik. Mereka mahukan kehidupan mereka penuh dengan pelbagai perkara yang menarik tetapi mereka enggan melakukan apa-apa untuk mencapainya. Sebagai contoh, mereka mahu memiliki Kerja idaman tetapi diri mereka tidak berusaha untuk memperbaiki diri sendiri seperti memperoleh kemahiran baharu atau memahirkan diri dalam proses temu bual permohonan kerja. 


Nasihat kedua saya ialah keluar daripada persekitaran yang sudah biasa jika mahu berubah. Kita perlu sedar bahawa Suasana persekitaran kita yang menentukan masa depan seseorang itu. Jadi, kita perlu melihat persekitaran itu. Tengok kawan sendiri. Tengok cara hidup sendiri. Tengok rutin harian sendiri. Tengok cara pemakanan sendiri. Tengok keluarga sendiri. Tengok kemahiran sendiri. Semua perkara yang saya sebutkan ini mementukan kehidupan seseorang pada masa ini dan pada masa depan. Maksudnya, jika kita mahu berubah kadangkala kita perlu menukar persekitaran dahulu. Perubahan dalam persekitaran ini akan menjadikan diri seseorang itu mampu untuk berubah, berdaya saing dan menukar menjadi diri yang baharu pula.


Nasihat ketiga saya ialah kita kena kurangkan penggunaan media sosial. Kalau kita lihat penggunaan media sosial ini lebih ke arah memaparkan perkara yang tebraik dalam hidup seseorang. Ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi rasa negatif akan muncul apabila konsep perbandingan mula berlingkar dalam jiwa seseorang itu. Bukankah kita seharusnya memberikan perhatian terhadap diri sendiri dan bukanlah melihat kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh orang lain dalam siaran media sosial mereka itu. Amalan sebegini akan menghabiskan tenaga seseorang lalu mereka tidak akan bermaya untuk mencapai impian kehidupan yang dicari sebelum ini.


Kita kena belajar gembira bersendirian. Itulah nasihat keempat saya kepada sesiapa sahaja yang berbual dengan saya mengenai masa muda mereka. Ketakutan untuk gembira bersendirian menyebabkan kita mudah berpaut kepada aktiviti orang lain yang biasanya kita tidak akan lakukannya. Tindakan menghabiskan masa dengan orang lain atas alasan tidak berani untuk melakukannya secara bersendirian akan menyebabkan kita menghabiskan masa dengan individu yang tidak kita suka pula akhirnya. Kemampuan untk gembira bersendirian akan membawa kegembiraan yang berpanjangan kerana amalan ini secara tidak langsung akan mendidik kita untuk benar-benar memilih individu yang kita mahu habiskan masa bersama-sama mereka.


Nasihat kelima saya ialah kita perlu lakukan semuanya dengan pantas. Banyak orang lebih suka menunggu dan menunggu sahaja. Saya pernah kenal satu individu yang mahu pergi melancong sejak sekian lama. Sehingga artikel ini ditulis, individu tersebut masih belum lagi berani pergi melancong ke mana-mana pun. Kita tidak boleh memberhentikan hidup kita begitu sahaja kerana amalan ini akan menjadikan kehidupan itu sesuatu yang statik. Jika kita mempunyai idea, kita perlu berusaha untuk melakukananya. Usah menunggu 10 tahun untuk menulis buku, lima tahun untuk mula melancong atau 7 tahun untuk membeli iPhone idaman anda. Kita perlu lakukannya segera. Kita lakukan sekarang.


Nasihat setersunya ialah tumpu kepada beberapa matlamat sahaja dalam satu-satu masa. Salah satu sebab banyak pihak mengalami kegagalan kerana mereka tidak mempunyai matlamat tetapi ramai tidak sedar bahawa terlalu banyak matlamat juga akan menjadikan diri mereka lebih mudah untuk mengalami kegagalan. Sebagai contoh, ada kenalan saya yang cuba mempelajari banyak perkara dalam satu masa sehingga menyebabkan dirinya menjadi lemah semangat lalu tidak banyak perubahan yang berlaku dalam setiap matlamat yang hendak dicapai itu.


Simpan wang sepanjang masa. Nasihat menyimpan wang ini penting kerana wang yang disimpan itu akan berguna pada suatu hari nanti. Simpanan ini boleh dalam bentuk membeli rumah atau membeli saham atau membuat simpanan biasa di bank itu. Rutin menyimpan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan akan membuahkan hasil selepas 10 tahun melakukanya. Kita semua boleh lakukan amalan ini tetapi perlulah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.


Kita perlu memajukan diri sendiri. Nasihat ini saya berikan kerana kita tidak boleh mengetahui semua perkara. Masih banyak perkara di dunia ini yang perlu diteroka. Kita perlu sedar bahawa semakin banyak kemajuan diri kita lakukan semakin tinggilah peluang untuk kita berjaya dalam melakukan sesuatu. Tindakan memajukan diri ini bukan sahaja melibatkan usaha mempelajari kursus baharu tetapi juga melibatkan pelbagai rutin lain seperti meninggikan kemahiran mental dan mungkin juga menjadikan kesihatan fizikal lebih mantap. 


Saya berharap semua nasihat ini berguna kepada pembaca terutama yang baru mencapai angka 20 dalam usia mereka atau mereka yang baru sahaja melepasi angka tersebut. Buat diri sendiri, saya masih berusaha untuk mengamalkan semua nasihat ini kerana saya yakin saya masih mampu untuk menyumbangkan kudrat ini kepada masyarakat untuk tempoh 15-20 tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...