Jom kita menulis

Menulis mengajar saya sesuatu…


Suatu masa dahulu saya melihat amalan menulis ini hanya untuk golangan tertentu yang dianugerahkan kreativiti untuk menulis atau kebolehan untuk bercakap dalam bahasa tertentu seperti bahasa Inggeris. Hanya apabila saya memasuki alam universiti saya mula memahami dan menyelami kepentingan menulis itu. Menulis penting buat manusia.


Sekarang hidup saya sudah beberapa tahun melepasi angka 50, saya berasa syukur kerana saya boleh menganggap diri saya sebagai penulis. Tanggapan ini bukan sahaja berdasarkan rasa cinta saya yang mendalam untuk menulis setiap hari tetapi kerana menulis juga telah menjadi guru khayalan untuk diri ini. Ketika menulis, saya mempelajari banyak perkara. Menulis seolah-olah seperti kehidupan yang turut memberikan beberapa pengajaran untuk terus menulis.


Ini merupakan beberapa aspek kehidupan yang saya pelajari menerusi amalan menulis itu.


Ketenangan jiwa. Kita tidak boleh menulis jika tidak mempunyai ketenangan jiwa. Penulis sukar untuk menulis jika jiwa dan minda mereka tidak tenang. Saya biasanya menulis di satu sudut bilik bacaan saya tanpa diganggu oleh apa-apa pun. Mungkin sedikit muzik. Itu sahaja. Ketenangan jiwa menjadikan minda dan jiwa penulis satu lalu jejari Mereka boleh menulis dengan mudah.


Mencapai matlamat hari demi hari. Menulis bukanlah satu kerja yang mudah. Untuk menghasilkan satu artikel sepanjang lebh 500 patah perkataan memerlukan kemahiran dan masa yang panjang juga.  Ini belum lagi usaha untuk berfikir dan memulakan sesuatu topik penulisan itu. Lantaran itu, menulis satu hari demi satu hari seolah-olah mendidik kita untuk mencapai matlamat yang realiti secara perlahan-lahan pula.


Konsep penulis sebagai bersendirian tidak benar. Kadangkala, saya mengakui ketika menulis, idea itu datang secara tiba-tiba. Saya berasa idea itu mungkin bukan daripada minda sendiri kerana kadangkala ketika melihat batu di tepi longkang idea tertentu muncul lalu tangan terus mengetuk papan kekunci komputer itu. Ketenangan jiwa yang dicapai itu seolah-olah menjadikan diri penulis bukan bersendirian. Malah, dalam bahagian ini, saya beranggapan aspek keagamaan itu begitu dekat kepada diri seseorang.


Gagal itu satu teladan. Sebagai penulis konsep gagal itu biasa. Berapa kali saya gagal menyiapkan satu ayat?. Berapa kali saya gagal menyiapkan satu perenggan?. Namun semua kegagalan itu memberikan satu keyakinan atau kepuasan yang baharu kepada diri ini. Saya bekerja menulis dengan lebih baik. Saya berusaha menghasilkan hasil kerja yang lebih sempurna. Kegagalan kepada diri saya sebagai penulis ialah gagal memberikan satu semangat untuk saya terus menulis kerana gagal itu membuka satu peluang baharu.


Rasa simpati dan bertimbang rasa pupuk perpaduan. Ya, mungkin ada pembaca yang terkejut bahawa menulis boleh memberikan perasaan sebegini. Sebagai penulis, kita perlu memahami dan meneliti serta menilai sesuatu peristiwa, watak dan sebagainya. Semua bahan penulisan yang dihasilkan sama ada dalam bentuk berita, motivasi, novel, sajak, dan sebagainya pasti berdasarkan pengalaman penulis dalam kehidupan. Perasaan simpati dan timbang rasa yang berlaku akan menjadikan diri penulis lebih memahami diri sendiri.



Kata-kata akhir


Setiap diri manusia di dunia ini cuba mencari tempat tersendiri mereka. Kita banyak belajar daripada persekitaran dan juga kisah yang kita sendiri pilih itu. Jadi, jika anda seorang penulis atau pemuzik, atau pereka fesyen atau apa-apa pun, selalu ingatkan diri bahawa ketabahan dan kesabaran itu satu anugerah yang perlu dimiliki. Ambil masa tersendiri untuk mencapai sesuatu. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk menyiapkan sesuatu sehingga menjadikan diri sendiri tertekan.


Walaupun saya menulis tetapi saya tidak melihat menulis itu perlu bersendirian sepanjang masa. Mengasingkan diri daripada kehidupan dan masyarakat akan hanya menghauskan idea seseorang untuk menulis dalam diri itu. Menulis memerlukan juga penglibatan diri dalam kehidupan nyata yang terbentang luas itu.


Pada masa yang sama, kita hendaklah bersedia menerima kesilapan. Perkara ini akan menjadikan diri kita lebih bersedia untuk berubah dan menjadi lebih baik pada masa depan. Kegagalan itu bermaksud kita mempelajari sesuatu.


Dalam kehidupan dunia yang semakin tercengkam dek pandemik ini, kita perlu memahami kehidupan masyarakat melebihi diri sendiri. Kita perlu lebih bersimpati dengan insan lain. Kita perlu mempunyai sikap timbang rasa kerana sikap ini akan memberikan satu kesimbangan kepada diri dalam mengeluarkan pemikiran, ungkapan dan tindakan mereka.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...