Anda dan kerja sehati sejiwa? Lihat tanda-tanda ini
Banyak orang melalui kehidupan kerjaya mereka seperti orang lain. Mereka menamatkan pengajian di sekolah rendah dan menengah kemudian memasuki kolej dan unievsriti sebelum memulakan kerjaya di sebuah syarikat atau institusi dengan penuh semangat. Kehidupan yang penuh dengan cabaran itu menyebabkan kadangkala kita sendiri berasa sukar untuk memilih kerjaya yang benar-benar memenuhi impian seseorang itu.
Saya tahu perasaan ini kerana saya sendiri seorang yang idealis. Saya juga pernah muda suatu masa dahulu. Saya juga pernah berjaya dan gagal suatu masa Dahulu. Namun, setelah memulakan kerjaya di sebuah syarikat akhbar tempatan dan kemudian memasuki sebuah insitusi pendidikan tinggi. Permulaan kerjaya sebagai penulis dan pendidik juga telah membuka mata saya tentang erti kerjaya yang sebenar. Saya mula menyedari bahawa ada kerjaya yang tidak akan berjaya memenuhi kehendak diri sendiri. Saya yakin ada pelajar saya dan mungkin pelanggan saya yang di luar sana yang turut berasakan perkara yang serupa iaitu seolah-olah melihat kerjaya yang ada Sekarang hanya memenuhi keperluan kewangan sahaja lalu tidak memenuhi jiwa mereka.
Jadi, apabila ada bekas pelajar dan pelanggan saya meluahkan rasa tidak gembira mereka di pejabat, saya mula meneroka beberapa perkara yang pada pandangan saya akan memberikan seseorang itu tanda-tanda sama ada kerjaya atau syarikat itu bersesuaian dengan mereka atau tidak.
Pertama, adakah matlamat syarikat bersesuaian dengan jiwa anda? Adakah anda berasa mempunyai keseraian dengan matlamat syarikat. Jika tidak maka sudah pasti anda perlu melakukan sesuatu perubahan iaitu mencari kerja lain. Saya masih ingat lagi ketika saya bekerja dengan sebuah syarikat akhbar. Perasaan tidak keserasian itu timbul apabila saya ditugaskan untuk membuat satu tugasan di Kuala Lumpur tetapi berita saya itu tidak disiarkan dengan alasan yang tidak munasabah. Perasaan itu saya biarkan sahaja pada awalnya. Lama-kelamaan, perasaan untuk bekerja sudah mula hilang tanpa disedari kerana saya mula nampak perbezaan antara syarikat dan diri sendiri yang berbeza. Betul faktor gaji turut memainkan peranan tetapi jika tidak wujud nilai tambah yang boleh memberikan kesejahteraan kepada diri sendiri, maknanya syarikat dan diri tiada lagi persamaan yang serupa yang boleh dikongsi bersama-sama.
Kedua, apabila bercakap mengenai kerjaya itu tidak ada perasaan bersemangat atau berkobar-kobar kepada orang lain. Bayangkan jika ada orang bertanyakan kepada anda tentang kerja anda, adakah anda akan bersemangat untuk menerangkannya? Adakah wajah anda akan berseri-seri untuk memberitahunya? Adakah penerangan anda mengenai kerjaya anda itu akan berjalan panjang lebar sehingga tetamu anda pula yang tersipu-sipu cuba menamatkan pertanyaan mereka itu? Semangat tentang kerja merupakan satu bahan perencah yang penting untuk seseorang memahami sama ada kerja dan syarikat itu benar-benar bersesuaian dengan diri seseorang.
Semua orang pasti ada rasa sedih dan suka dalam kerjaya mereka. Itu lumrah hidup dewasa atau bekerja. Namun, jika persoalan mengenai kewujudan anda di sebuah syarikat itu berlanjutan berminggu-minggu dan kemudian berbulan-bulan pastinya kita perlu menilai persoalan tersebut secara objektif. Cuba perlahan-lahan menilai dan merenung realiti hidup yang dialami oleh diri sendiri yang sebenar. Mungkin, anda ditakdirkan untuk sesuatu yang lebih baik seperti memulakan perniagaan sendiri atau menjadi penyanyi atau membuka bengkel membaiki kenderaan dan sebagainya.
Persoalan terakhir yang saya temui dalam kemelut ini ialah adakah diri kita selalu berangan-angan hidup dalam kehidupan yang lain. Saya sering membayangkan diri saya menulis ketika duduk di kafe sambil menghirup kopi lalu pelbagai idea jatuh satu demi satu daripada siling kafe itu. Ya, saya sering berangan-angan sedemikian. Jika jawapannya ialah ya maka sudah pasti anda perlu menilai semula matlamat hidup anda sendiri. Semua orang mesti ada fantasi kehidupan mereka yang tersendiri lalu jika kita sering berangan-angan tentang satu kehidupan lain maka itulah tandanya.
Baiklah, katakan anda sudah menjawab keempat-empat persoalan tadi. Jadi, sekarang apakah yang perlu dilakukan? Hantar surat letak jawatan? Tidak. Anda seharusnya menilai kehidupan kerjaya anda. Pecah-pecahkan matlamat-matlamat dalam kehidupan anda itu kepada beberapa pertanyaan kecil di dalam hati.
- Apakah matlamat hidup anda yang sebenarnya?
- Apakah perkara yang paling anda hendak capai dalam hidup ini?
- Adakah anda boleh mencapai matlamat itu dalam tempoh 6 atau 12 bulan dari sekarang?
- Adakah anda masih mahu meneruskan kerjaya di syarikat itu bulan ini dan depan?
- Adakah keluarga anda memahami situasi anda?
- Bagaimanakah dengan kekukuhan kewangan anda dan keluarga?
- Bagaimanakah anda hendak memulakan perubahan itu?
Semua tindakan yang anda ambil akan membawa diri anda ke arah mencapai matlamat yang didiamkan sedikit demi sedikit. Namun, penyelidikan perlu dilakukan terutama terhadap matlamat yang hendak anda capai.
Mungkin anda bertanya sama ada saya sudah mencapai matlamat hidup yang saya mahukan? Jawapannya sudah tetapi belum sepenuhnya kerana kerja menulis masih belum berupaya untuk memberikan satu sumber kewangan yang stabil buat saya. Membuat kelas untuk pelajar, membuat seminar untuk pelanggan dan menulis sudah cukup memberikan saya satu kegembiraan yang berpanjangan. Saya masih ceria menaiki LRT untuk menjalankan tugas sebagai seorang pekerja. Saya masih mendengar muzik sambil melihat gereabak LRT bergerak perlahan-lahan meninggalkan destinasi. Saya masih ceria menerima pertanyaan pelajar dan pelanggan tentang sesuatu. Dan saya juga masih bersemangat untuk menulis dan menulis.
Sebagai manusia kita perlu hidup dengan melakukan kerjaya yang kita mahukan Tetapi saya percaya amalan ini memerlukan ketabahan dan kegigihan yang tinggi Tetapi percayalah ini akan menjadi satu lorong perjalanan hidup yang pasti anda hargai sepanjang hidup anda nanti.
No comments:
Post a Comment