El Salvador umumkan bitcoin sebagai mata wang rasmi negara


Negara El Salvador telah memulakan satu ujian yang paling getir iaitu negara itu telah mengumumkan bahawa BITCOIN akan menjadi mata wang rasmi negara itu. Pengumuman ini pastinya akan dilihat dan dikaji oleh negara-negara lain yang ingin mengetahui keberkesanan penggunaan bitcion dalam urusan harian kewangan sesebuah negara. Langkah ini bermakna, semua perniagaan di negara itu diwajibkan untuk menerima bayaran dalam bentuk bitcoin apabila diminta oleh pengguna. 


Namun, pengumuman ini turut disertai dengan pelbagai pertanyaan. Pertama, adakah rakyat biasa di negara itu benar-benar memahami konsep bitcoin? Kedua, bagaimana pula dengan persediaan bank di negara itu dalam menguruskan bitcoin terutama aspek penyediaan ATM untuk kegunaan umum? Ketiga, mengapakah tindakan ini dilakukan sekarang?Rakyat negara itu akan menerima US30 dalam bentuk bitcoin sebaik sahaja mereka memuat naik aplikasi e-dompet digital yang dihasilkan oleh kerajaan itu dalam proses penggunaan wang kripto ini.


Setakat artikel ini ditulis, pengumuman bitcoin ini merupakan salah satu langkah Presiden Nayib Bukele untuk memodenkan sistem kewangan negaranya bersama-sama untuk menghapuskan penggunaan orang tengah yang telah mengenakan bayaran tinggi untuk sebarang penghantaran atau transaksi kewangan. Bayaran kiriman wang di negara ini telah disalahgunakan oleh pihak tertentu lalu penggunaan bitcoin boleh menyediakan satu ruang yang bukan sahaja mudah tetapi murah untuk sebarang penghantaran wang. El Salvador mempunyai ramai rakyatnya yang bekerja di luar negara terutama di Amerika Syarikat. Penghantaran wang dari luar negara merupakan antara aktiviti utama rakyat negara itu.


Ada juga pihak berpendapat pengumuman ini bertujuan untuk mengekang aktiviti penggubahan wang haram yang begitu ketara di El Salvador. Pada masa yang sama, amalan rasuah yang melampau turut berlaku di negara Amerika Tengah itu. Penggunaan bitcoin dikatakan mampu menjadikan semua pihak yang terlibat dalam urusan kewangan dalam situasi yang lebih adil. Penggemar bitcoin sering menyalahkan pihak bank yang dikatakan mempunyai kelebihan dalam urusan kewangan walaupun wang yang disimpan di bank itu asalnya dimiliki oleh orang ramai.


Negara itu juga berpendapat bahawa penggunaan bitcoin ini boleh menarik kumpulan-kumpulan pelabur lain untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara itu. Golongan pelabur yang mempunyai idea yang kreatif berbanding pelabur kategori lama yang agak sukar untuk menerima perubahan dalam proses pemberian pinjaman kewangan kepada negara itu.Penggunaan bitcoin juga diharapkan oleh kerajaan negara itu akan memudahkan urusan kewangan rakyat negara itu yang masih jauh tertinggal dalam penggunaan sistem perbankan cara lama.


Usaha menggunakan bitcoin di negara itu dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat bitcoin dari Amerika syarikat yang dikenali dengan nama Strike. Kerjasama ini menyaksikan negara itu telah menyediakan beratus-ratus kemudahan ATM bitcoin yang dipanggil Chivo. Ada pihak yang menyatakan bahawa pengumuman ini mungkin akan diikuti oleh beberapa buah negara lain di Amerika Selatan yang sedang sibuk memerhatikan impak yang bakal melanda negara itu.


Kalau pembaca semua masih ingat, kerajaan China sejak akhir-akhir pula sering melakukan pemantauan yang ketat terhadap mata wang kripto sehingga menyebabkan banyak industri perlombongan mata wang kripto China telah beralih ke negara lain seperti Amerika Syarikat untuk menjalankan aktiviti mereka.


Kita lihat sama ada uji kaji penggunaan bitcoin ini akan berjaya atau tidak di El Salvador kerana sebarang kesudahannya pasti akan membawa tempias kepada sistem kewangan dunia dan kemungkinan juga Malaysia nanti.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...