Bangunan tinggi dan rakyat

Antara bangunan tinggi dan kehidupan rakyat biasa


Bangunan Merdeka 118 sudah mula diperkatakan dalam media massa sebagai bangunan yang kedua tertinggi di dunia dalam sedikit masa lagi. Sudah pasti kejayaan ini satu pencapaian yang menarik buat arkitek dan syarikat yang memiliki bangunan itu. Pembinaan sebesar ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.  Namun, dalam keghairahan kita menerima berita ini harus kita merenung sejenak realiti kehidupan sebenar yang sedang melanda negara dan rakyat secara keseluruhannya.


Ada bangunan sebegini pastinya ada pihak yang memberikan hujah bahawa wang yang digunakan untuk membina bangunan ini bukanlah wang kerajaan tetapi duit swasta. Ada juga yang akan menggunakan hujah bahawa kewujudan bangunan ini memberikan projek yang banyak kepada syarikat pembinaan yang mengupah ribuan pekerja. Malah, ada pihak yang akan melihat pembinaan bangunan ini memberikan peluang kerja kepada ribuan rakyat tempatan apabila siap kerana ruang pejabat yang ada perlu diisi. Ada juga yang mengaitkan kewujudan bangunan kedua tinggi ini akan memberikan satu lonjakan semangat kepada rakyat ketika era pandemik berlangsung.


Namun, persoalan yang paling penting ialah adakah kewujudan bangunan kedua tertinggi ini penting? Tidak wajarkah jika bangunan ini hanya 25 tingkat sahaja? Perlulah membina bangunan tinggi-tinggi di negara yang mempunyai kawasan yang masih luas dan populasi yang agak kecil ini? Adakah bangunan tertinggi sebegini melambangkan kemajuan negara itu? Adakah betul akan ramai rakyat negara ini diambil bekerja atau lebih banyak pekerja asing terutama golongan profesional yang akan memenuhi ruang pejabat di bangunan itu? 


Manakala, realiti kehidupan rakyat Malaysia sekarang ialah pandemik ini masih terus berlaku walaupun angka kes kelihatan agak stabil. Jumlah pengangguran pastinya besar walaupun saya sendiri tidak pasti tetapi melihat kewujudan warung-warung di tepi jalan mengesahkan dakwaan ini. Pelajar-pelajar sekolah masih tidak mengalami proses pembelajaran yang sebenar walaupun tanda-tanda perubahan mula kelihatan. Ekonomi negara masih agak perlahan walaupun sudah ada cadangan untuk menghidupkan semula projek kereta api laju (pada hal Malaysia yang menamatkannya dengan membayar denda jutaan ringgit kepada negara jiran sebagai tanda bayaran pampasan pembatalan projek). Pekerja masih takut untuk ke pejabat walaupun majikan sudah mula mendesak.


Kalau kita lihat negara-negara maju yang diiktiraf oleh dunia (bukannya dilaungkan oleh negara itu sendiri) seperti Jepun, Sweden, Norway, dan sebagainya sudah pasti negara itu tidak banyak bangunan setinggi ini (akan ada pihak yang menggunakan hujah negara-negara ini mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi). Rakyat negara-negara ini terutamanya Sweden dan Norway sering mendapat tempat teratas dalam indeks kajian masyarakat dunia dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan, kebajikan rakyat , keselamatan diri, dan kegembiraan hidup mereka. Adakah negara kita berani untuk mengakui kedudukan kita dalam ranking dunia dalam semua aspek yang dihuraikan tadi? Bagaimana dengan kedudukan ranking negara dalam aspek amalan rasuah? Atau rangking yang dinyatakan tadi tidak memberikan kepentingan kepada Malaysia lalu melihat kedudukan mempunyai bangunan tertinggi di dunia itu sebagai melebihi segala-galanya.


Buat saya memiliki bangunan kedua tertinggi di dunia bukanlah sesuatu yang penting tetapi mempunyai peluang untuk memperoleh rezeki setiap bulan yang mampu menampung kehidupan itu yang menjadi impian. Mungkin juga impian saya ini dikongsi oleh insan-insan lain yang mendiami negara Malaysia ini. Atau mungkin wang yang digunakan untuk membina bangunan kedua tertinggi ini digunakan untuk membina lebih banyak flat atau rumah teres mampu milik yang akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera pada masa depan. Mungkin jika dunia mengesahkan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kedua tertinggi di dunia itu menjadi berita yang kita semua patut raikan bersama-sama. Sementara menanti waktu itu tiba, saya hanya mampu melihat dari jauh ketinggian bangunan kedua tertinggi di dunia ini.


No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...